SEDEKAH ATAU ZAKAT: MANA PERLU DIBERI KEUTAMAAN? | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » SEDEKAH ATAU ZAKAT: MANA PERLU DIBERI KEUTAMAAN?

SEDEKAH ATAU ZAKAT: MANA PERLU DIBERI KEUTAMAAN?

 

Setiap umat Islam menginginkan kehidupan yang bahagia, diberkati, dan diredhai oleh Allah SWT. Oleh itu, kita disarankan untuk melaksanakan amalan ibadah, sama ada yang wajib atau sunat.

Apabila kita meningkatkan amalan sunat, pahala yang diterima akan berlipat ganda. Sementara itu, jika kita melaksanakan ibadah wajib, Allah SWT akan memberikan keberkatan dan keredhaan dalam kehidupan kita melalui apa yang diperintahkan.

Sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Islam ditegakkan di atas lima perkara iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan bahawa Nabi Muhammad ini Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan menunaikannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi, apa perbezaan yang dapat kita lihat di antara sedekah sunat ataupun sedekah wajib? Yang mana perlu kita perlu utamakan? Sedekah sunat adalah pemberian kepada orang yang memerlukan secara sukarela dan ikhlas tanpa had waktu atau jumlah tertentu, dilakukan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Manakala sedekah wajib adalah zakat, di mana seseorang mengeluarkan sejumlah harta dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan untuk diberikan kepada golongan-golongan tertentu.

Dalam hal mana yang perlu diutamakan, sedekah wajib (zakat) mempunyai keutamaan kerana ia merupakan satu kewajiban yang ditetapkan dalam Islam. Namun, sedekah sunat juga sangat dianjurkan kerana ia merupakan amalan tambahan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 60:
"Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskan zakat, orang-orang yang memeluk agama Islam (mualaf) yang perlu dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang memerdekakan diri, orang-orang yang berhutang, untuk (membela) jalan Allah, dan musafir yang memerlukan bantuan semasa perjalanan. Itulah ketetapan yang ditetapkan oleh Allah. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Namun, dalam keadaan masa kini, masyarakat sering lebih mengutamakan sedekah daripada ibadah zakat, di mana sedekah yang diberikan dianggap dan disifatkan sebagai zakat.

Contohnya, seseorang memberikan sumbangan di tabung masjid, memberi wang kepada anak yatim, membantu kaum kerabat, menyokong orang kurang upaya, atau memberi bantuan kepada ibu tunggal.

Untuk pengetahuan semua, memberikan wang kepada golongan yang bukan asnaf merupakan sedekah sunat dan bukanlah termasuk dalam ibadah zakat.

Oleh itu, ibadah zakat tersebut tidaklah sempurna dan pahalanya hanya terhad kepada amalan SUNAT, bukannya yang wajib.

Ini kerana, ibadah zakat hanya tertentu golongan yang berhak menerima zakat, iaitu fakir, miskin, amil (pegawai zakat), mualaf (orang yang baru masuk Islam), riqab (hamba sahaya yang ingin memerdekakan diri), gharimin (orang yang berhutang), fisabilillah (untuk kepentingan jalan Allah), dan ibnu sabil (musafir yang terhalang perjalanannya).

Seperti yang terdapat dalam al-Quran Surah At-Taubah ayat 60. Terkadang, masyarakat kini mengambil mudah dan mempertikai sedekah yang diberikan sebagai zakat.

Sedekah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita mampu membantu, tetapi zakat hanya boleh diberikan kepada golongan tertentu yang LAYAK menerima zakat. Masyarakat Islam perlu lebih peka terhadap kewajiban mengeluarkan zakat dan cara penagihannya, terutamanya dalam hal pengagihan zakat secara persendirian.

Oleh yang demikian, masyarakat yang mampu menunaikan kewajipan dituntut oleh syariat Islam tanpa keraguan. Keadaan ini akan menggalakkan golongan asnaf yang dibantu dapat meningkatkan taraf hidup mereka dan secara tidak langsung ekonomi umat Islam akan lebih bertambah mantap seterusnya memantapkan juga ekonomi negara Islam secara menyeluruh. InsyaALLAH.

Sebarang pertanyaan tentang info zakat bolehlah layari laman web https://wazan.upm.edu.my/  atau hadiri ke kaunter WAZAN yang beroperasi Isnin hingga Jumaat bermula 8:30 Pagi sehingga 4:30 Petang.

 

Rujukan: https://e-penerbitan.jawhar.gov.my/wp-content/uploads/2022/07/Kompilasi-Fatwa.pdf 

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/37371/sinar-islam/mana-lebih-utama-sedekah-atau-zakat 

Tarikh Input: 30/04/2024 | Kemaskini: 30/04/2024 | nuriqra

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXFTGAV~