WAZAN UPM BERI RM 2.97 JUTA KEPADA PELAJAR PADA TAHUN 2023 | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» BERITA » WAZAN UPM BERI RM 2.97 JUTA KEPADA PELAJAR PADA TAHUN 2023

WAZAN UPM BERI RM 2.97 JUTA KEPADA PELAJAR PADA TAHUN 2023

SERDANG, 30 Jan - Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) menghulurkan bantuan sebanyak RM2.97 juta sepanjang tahun 2023 kepada kumpulan pelajar B40 serta asnaf dalam pelbagai bentuk bantuan.
 
Pengarah WAZAN UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Daud Awang berkata, pihaknya akan terus memberikan bantuan dengan memperkukuhkan pendanaan zakat, wakaf dan sumbangan serta mempergiat bentuk-bentuk agihan bantuan yang baharu dan menyeluruh.
 
 
 
Antara bentuk bantuan yang telah diberikan kepada pelajar sepanjang tahun lalu seperti bantuan sara diri, latihan industri, yuran pengajian, perubatan, bencana, kecemasan, penerbitan dan sahsiah.
 
“Selain itu, kami juga menyampaikan bantuan dalam program yang melibatkan pelajar seperti program dakwah, program keilmuan, program kesukarelawanan dan program kebajikan.
 
“WAZAN UPM akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai badan zakat, wakaf serta mengagihkan sumbangan bagi tujuan membantu warga UPM yang memerlukan melalui dana zakat, wakaf, sumbangan melalui Tabung UPM Prihatin dan Zakat Wakalah (zakat korporat),” katanya.
 
Pelbagai program kebajikan diadakan bagi membantu pelajar UPM secara terus antaranya ialah program free meals seperti program Jangan Skip Sahur, program Singgah Sahur, program Breakfast Dulu b4 Exam program makan malam dan bantuan juadah berbuka puasa.
 
 
Program-program lain turut diadakan iaitu program Jom Balik Raya, program FreeFuel, program Jalinan Mahabbah dan Ziarah Mahabbah.
 
Inisiatif ini adalah sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 dengan matlamat penjanaan pendapatan menerusi wakaf, zakat, dan endowmen dalam memastikan kebajikan warga UPM khususnya pelajar diperkukuhkan.
 
Dalam pada itu, WAZAN UPM telah dilantik selaku penolong amil kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang berperanan untuk menjalankan aktiviti bagi kutipan dan agihan zakat serta bertanggungjawab mengagih dana zakat kepada lima kategori asnaf iaitu fakir, miskin, muallaf, ibnu sabil dan fisabilillah (menerusi perjanjian UPM-LZS).
 
Bagi pengurusan Dana Wakaf Ilmu pula, WAZAN UPM berperanan menjalankan fungsi Mutawalli kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) untuk mengutip dan menjalankan aktiviti agihan melalui agihan manfaat Dana Wakaf Ilmu serta juga terlibat dalam pengurusan sumbangan melalui dana Tabung UPM Prihatin dan juga dana-dana Zakat Wakalah (zakat korporat) yang disumbangkan daripada institusi kewangan dan syarikat-syarikat korporat.
 
WAZAN UPM turut menguruskan kutipan tabung kemanusiaan yang dihulurkan kepada Tabung Mangsa Gempa Turkiye & Syria dan Bagi Tabung Untukmu Palestin berjumlah RM 75,000.00.

Tarikh Input: 14/02/2024 | Kemaskini: 26/02/2024 | nuriqra

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEcHA5~