ASAH SEMULA WAKAF SEBAGAI 'SENJATA' EKONOMI UMAT ISLAM | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » ASAH SEMULA WAKAF SEBAGAI 'SENJATA' EKONOMI UMAT ISLAM

ASAH SEMULA WAKAF SEBAGAI 'SENJATA' EKONOMI UMAT ISLAM

ASAH SEMULA WAKAF SEBAGAI 'SENJATA' EKONOMI UMAT ISLAM
 
SUDAH banyak kali kita dengar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperkatakan keperluan memajukan dan menyemarakkan wakaf. Hakikatnya, wakaf ialah senjata umat Islam sudah 'berkarat' yang tentunya perlu diasah dan dipertajamkan semula. Senjata antik ini tidak sepatutnya dilupai dan dibiarkan begitu sahaja, apatah lagi tatkala ekonomi negara perlu dipulihkan dengan apa sahaja cara yang ada.
 
Ketika membentangkan Belanjawan 2023, beliau mengemukakan cadangan penubuhan Wakaf Madani. Gagasan Wakaf Madani disuarakan begitu jelas dan lantang sekali tetapi sambutan rakyat agak sepi.
 
 
Sambutan agak dingin itu, seolah-olah tidak memahami kepentingan senjata wakaf ini. Begitu juga beberapa agensi berkaitan wakaf yang masih tercari-cari maksud sebenar Wakaf Madani. Katanya, sebanyak RM1 bilion dana diperuntukkan dan diterajui pula sektor swasta.
 
Kelmarin, Perdana Menteri sekali lagi meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat swasta menyemarakkan usaha membangunkan wakaf.
 
Justeru, bagaimanakah cara untuk memastikan senjata ekonomi umat Islam ini diasah dan dipertajamkan semula selepas Perdana Menteri mengumumkan dana RM1 bilion dan mengulangi penegasan terhadap kepentingan wakaf?
 
Bagi mengangkasakan Wakaf Madani, roh perlu ada pada wakaf. Sudah tentu roh berkenaan umpama nyawa kepada wakaf bakal melestarikannya. Roh yang berada pada jasad wakaf dibentuk berdasarkan beberapa juzuk atau objek dijadikan mawquf wakaf, penerima manfaat wakaf atau mawquf alaih serta hukum hakam bagi melaksanakan wakaf berkenaan. Tanpa roh dan jasad, Wakaf Madani akan menghadapi halangan dan rintangan dilaksanakan.
 
Wakaf Madani sebaik-baiknya dikendalikan modal insan benar-benar memahami erti wakaf dan ditadbir secara profesional. Pengalaman dan kefahaman paling utama. Dengan keseluruhan saiz tanah wakaf di seluruh negara pada 2017 seluas 30,000 hektar, modal insan yang ada tidak cukup untuk memajukan tanah berkenaan.
 
Kajian dijalankan Yayasan Waqaf Malaysia pada 2013 mendapati hanya kira-kira 13 peratus sahaja tanah wakaf dimajukan dengan pelbagai bangunan. Selebihnya masih lagi mundur dan tidak diusahakan.
 
 
Punca kemunduran tanah wakaf
 
Antara punca kemunduran tanah wakaf di negara ini termasuk ketiadaan peruntukan jelas dalam Undang-undang Pentadbiran Wakaf, selain faktor kekurangan dana yang boleh disuntik bagi memajukan tanah wakaf. Di sini, Wakaf Madani mampu berperanan memajukan tanah wakaf.
 
Baru-baru ini, seramai lapan pelajar dari Universiti Islam Negeri (UIN) Raden Intan, Lampung, Indonesia menjadi tetamu Universiti Geomatika Malaysia. Mereka kumpulan pelajar sedang mengikuti pengajian dalam bidang Ekonomi Islam dan Perniagaan.
 
Mereka berada di negara ini untuk mendalami ilmu pengetahuan mengenai wakaf. Mereka begitu teruja apabila melawat Yayasan Waqaf Malaysia, UDA Holdings Berhad (UDA) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan baru-baru ini. Ternyata wakaf bukanlah semata-mata mengenai ilmu pengetahuan keagamaan, malah boleh diamalkan dalam aspek amalan ekonomi dan perniagaan.
 
Apabila menghadiri seminar antarabangsa di UIN Sultan Hassanuddin di Bandar Banten tidak jauh dari Jakarta, saya begitu kagum dengan pembinaan kampus seluas 50 hektar menampung lebih 40,000 pelajar baharu siap dibina dengan pendanaan sukuk wakaf.
 
Jarang sekali kampus universiti dibina menggunakan sukuk wakaf. Barangkali pembinaan kampus universiti berkenaan boleh dijadikan perintis dan model bagi memajukan infrastruktur untuk umat Islam menggunakan sukuk wakaf. Justeru, Wakaf Madani mampu dijadikan sumber dana untuk menyediakan prasarana di negara ini.
 
Selain wakaf digunakan untuk memajukan pendidikan tinggi, terdapat banyak bentuk mawquf dimajukan di seluruh dunia. Antaranya bangunan pejabat, ladang, perdagangan, hospital, masjid, jambatan, pasar awam, sekolah dan tali air. Telaga ar-Rummah yang dibeli Sayidina Othman Affan RA dijaga dengan baik dan dibangunkan Hotel Renaissance yang menghasilkan manfaat sewa sebanyak kira-kira 50 juta dirham setahun. Manfaat sewa ini digunakan untuk kebajikan ummah di seluruh dunia.
 
Dengan pengurusan tanah wakaf profesional, nilai mawquf dapat ditingkatkan. Dalam konteks ini, Wakaf Madani berkaitan dengan jenis 'wakaf istithmar' bagi memajukan tanah wakaf boleh digunakan untuk mendanai projek pembangunan hartanah. Sebagai contoh, apabila tanah wakaf dikenal pasti dan dana disalurkan, Kelulusan Merancang (KM) diperoleh bagi memajukan tanah berkenaan.
 
Dengan kelulusan ini, bermakna segala keperluan dan masalah berkaitan urusan tanah seperti faraid dan pusaka sudah selesai. Lantas, nilai hartanah akan naik berganda. Ini bermakna pengganda ekonomi berperanan dalam memajukan ekonomi pemilik tanah berkenaan.
 
Kemudian, tanah dan bangunan berkenaan boleh diwakafkan. Tanah pribumi dan Tanah Rizab Melayu boleh juga dimajukan dengan cara sama serta dijadikan tanah wakaf kemudiannya.
 
Selain wakaf hartanah, Wakaf Madani juga boleh digunakan untuk membeli hartanah tidak laku di pasaran untuk dijadikan harta wakaf. Nilai harta tidak laku di pasaran sudah mencapai RM39 bilion pada tahun lalu. Bukan setakat hartanah, wakaf saham, tunai, kenderaan, perabot, tanaman dan bahan binaan boleh diceburi Wakaf Madani demi kesejahteraan umat dan melandaikan kos sara hidup rakyat. Bagaimana kaedahnya, kajian terperinci perlu dilakukan secara profesional terlebih dahulu.
 
Justeru, pengurus wakaf profesional dan berkemahiran sangat diperlukan. Dalam konteks ini, dana untuk modal insan daripada Wakaf Madani boleh digunakan sebagai wakaf ilmu.
 
Contohnya, usaha sama dijalankan kerajaan Kelantan dengan Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan Universiti Geomatika Malaysia dalam mengendalikan Sijil Profesional Pentadbiran dan Pengurusan tanah berjaya melahirkan pengurus tanah wakaf berkemahiran. Begitu juga latihan Pensijilan Wakaf dikendalikan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dengan PERTAMA kepada asnaf di Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
 

Tarikh Input: 28/06/2023 | Kemaskini: 16/08/2023 | nuradnin

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEcDAf~