KUALA ROMPIN, 17 Julai - Pusat Islam (PIU) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN) UPM dan Putra Bakti UPM buat julung kalinya mengadakan aktiviti dakwah serta memberi bantuan kepada pelajar asnaf UPM di sekitar daerah Rompin dan Temerloh, Pahang secara bermotor.
Naib Canselor UPM, YH. Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata sumbangan bantuan yang diberikan kepada pelajar asnaf UPM akan memberi motivasi kepada pelajar tersebut untuk meneruskan pengajian secara bersungguh-sungguh di UPM.
“Semoga pelajar asnaf UPM yang menerima bantuan berbentuk kewangan dan barangan mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya selain menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.
“Pihak WAZAN akan terus-menerus membantu pelajar UPM yang kurang berkemampuan agar semua pelajar ini menamatkan pengajian dan meneruskan kehidupan dalam membantu keluarga,” katanya.
Selain program kembara memberi sumbangan kepada pelajar asnaf, program yang bermula pada 16 sehingga 18 Julai ini juga telah menjalankan aktiviti forum, pemeriksaan kesihatan secara percuma dan gotong-royong di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Rompin dalam mencapai aspirasi UPM 'Menggema Seruan Al Falah dari menara ilmu'.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr Nazamid Saari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, YB. Ir. Razali Kassim.
Date of Input: 22/07/2022 |
Updated: 22/07/2022 | rizal_helmi
MEDIA SHARING