Pengenalan

Pengertian Wakaf

Wakaf turut dikenali sebagai sedekah jariah iaitu ibadah yang berbentuk penyerahan harta yang dimiliki dengan niat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T bagi tujuan kemaslahatan umat. Ibadah wakaf merupakan amalan jariah berbentuk kekal yang dianugerahkan ganjaran pahala yang berterusan kepada para pewakaf sehingga hari Kiamat.

 

Dana Wakaf Ilmu UPM

Dana Wakaf Ilmu UPM merupakan satu kemudahan untuk berbakti kepada UPM menerusi amalan berwakaf, sama ada wang tunai atau harta (alih/tidak alih) di bawah pengurusan Jawatankuasa Pemegang Amanah Dana Wakaf Ilmu yang dipengerusikan oleh Naib Canselor UPM dalam menjalankan fungsi Mutawalli (Pengurus/Pentadbir Harta Wakaf) demi kepentingan dan kemajuan aktiviti keilmuan.

Ringkasnya, Dana Wakaf Ilmu UPM merupakan suatu inisiatif penjanaan dana yang menggunapakai kaedah wakaf melalui sumbangan individu, sumbangan korporat, koperasi dan badan bukan kerajaan, pulangan dari hartanah wakaf, hasil projek sektor pertanian dan perladangan, hasil projek sektor perindustrian dan pulangan portfolio pasaran wang dan modal bertujuan untuk mewujudkan suatu infrastruktur jangka panjang yang lestari bagi memenuhi sebahagian keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik melibatkan Warga UPM.

Walaupun penjanaan dana ini menggunakan konsep wakaf, penerimaan sumbangannya bukan terhad untuk diperolehi daripada individu dan organisasi milik orang Islam sahaja. Individu dan organisasi milik bukan Islam juga terbuka dan boleh memberi sumbangan kepada tabung ini.

Perkara ini selaras dengan matlamat program penjanaan dana bertujuan menggembeling sumbangan masyarakat keseluruhannya dalam bentuk derma dan endowmen bagi pemajuan dan pengimarahan ilmu di Universiti, dan manfaatnya bakal dinikmati oleh semua tanpa mengira Agama.

 

Matlamat Penubuhan Dana Wakaf Ilmu

  • Menjadi penggerak dan penganjur utama kepada amalan sedekah jariah dan pengimarahan ilmu melalui sumbangan wakaf dan infak.
  • Menyuburkan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk melaksanakan aktiviti kebajikan dan amal jariah.
  • Memainkan peranan sebagai pemudahcara dan pengurus amalan kebajikan serta dakwah.

 

Manfaat Dana Wakaf Ilmu UPM

Setiap dana infak dan wakaf ilmu di UPM, sama ada wakaf am atau wakaf khas, akan dimanfaatkan sepenuhnya melalui penyediaan fasiliti dan prasarana bagi aktiviti keilmuan, merangkumi program pengajaran dan pembelajaran, aktiviti dakwah dan pengimarahan, penyelidikan dan inovasi serta khidmat komuniti yang menjadi aktiviti teras universiti.