Zakat

"Zakat Anda, Untuk Asnaf"

 

 

Ruangan ini memuatkan koleksi soal jawab berkaitan Zakat dan Tabung Amanah Zakat UPM.

 
Soalan: Saya terlupa membayar zakat pada tahun lalu. Apakah yang perlu dilakukan?
Jawapan: Zakat yang tidak ditunaikan pada tahun lalu kewajipanya maka wajib diqada’ semula setelah menyedarinya.
 
Soalan: Wajibkah para pelajar yang menerima biasiswa, membayar zakat sepertimana zakat pendapatan yang dibayar oleh orang yang bekerja ?

Jawapan: Wang biasiswa tidak diwajibkan zakat keatasnya kerana melibatkan wang perbelanjaan seharian untuk urusan pembelajaran. Tambahan pula ia sentiasa berkurangan dari semasa ke semasa dan tidak cukup haul dan tidak cukup setahun yang telah ditetapkan oleh syarak untuk melayakkanya mengeluarkan zakat.

 
Soalan:  Adakah bantuan daripada zakat ini perlu dibayar semula ?
Jawapan: Tidak, semua bantuan yang diberikan bukan berbentuk pinjaman dan tidak perlu dibayar semula.
 
Soalan: Bolehkah membayar zakat terus kepada asnaf tidak melalui amil ?
Jawapan: Boleh dan hukumnya adalah sah, akan tetapi kita sekarang hidup bukan seperti zaman dahulu dimana iman orang islam sangat kuat apabila cukup haul dan nisab terus keluar mencari asnaf. Pemerintah juga telah mengarahkan untuk memungut zakat dari golongan kaya dan diberi kepada golongan yang memerlukan untuk kemaslahatan umum dan menyusun semula cara pengeluaran zakat.
 
Soalan: Adakah wang simpanan di Tabung Haji perlu dikeluarkan Zakat oleh pemiliknya ?
Jawapan: Wang yang disimpan di Tabung Haji telah dibayar zakatnya oleh pihak Lembaga Tabung Haji bagi pihak pendeposit. Ini merupakan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-17 yang bersidang pada 3 Mei 1979 telah membincangkan Pembayaran Zakat oleh Tabung Haji.
 
Soalan: Bagaimanakah Pengagihan zakat ini dilakukan ?
Jawapan: Agihan zakat hendaklah dilaksanakan mengikut keutamaan iaitu asnaf fakir, miskin, amil dan muallaf. Berasaskan prinsip ini, sekiranya peruntukan untuk keempat-empat asnaf ini tidak mencukupi, maka pindahan peruntukanndari asnaf yang lain hendaklah dilakukan dengan mengutamakan kempat-empat asnaf ini. Pengagihan zakat hendaklah dilaksanakan berdasarkan keutamaan dan keperluan asnaf.
 
Soalan: Bolehkah untuk memberi zakat kepada orang bukan islam ?

Jawapan: Boleh. Hukumnya adalah harus jika asal tujuannya adalah untuk berdakwah dan menarik mereka kepada islam. Ini menunjukkan Islam adalah praktikal dan tepat untuk dilaksanakan.

 
SoalanBagaimanakah cara untuk mengenal pasti Had al-Kifayah zakat ?

Jawapan: Keperluan asasi yang diambil kira dalam penentuan Had al-Kifayah adalah seperti :

  1. a) Perlindungan
  2. b) Makanan dan minuman
  3. c) Pakaian
  4. d) Perubatan
  5. e) Pendidikan
  6. f) Pengangkutan

 

Didalam sesebuah keluarga had kifayah adalah berbeza mengikut individu, jumlah anggota rumah juga mempengaruhi kadar Had kifayah. Dimana semakin besar keluarga semakin meningkatlah kadar Had alKifayah tersebut.

 
Soalan: Bagaimanakah cara pengiraan zakat pendapatan ?
Jawapan: Terdapat dua garis panduan mengira zakat pendapatan sama ada:
  1. 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab) atau
  2. Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan asas yang dibenarkan (berdasarkan kaedah penolakan Had Kifayah dan penolakan yang dibenarkan). Ini adalah kiraan lebih tepat.
 
Soalan: Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber haram? Apakah contoh sumber haram tersebut?
JawapanTidak wajib zakat kerana tidak memenuhi syarat wajib zakat.


Menurut ulama, harta yang di perolehi dari sumber yang haram adalah haram. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Allah tidak menerima sebarang sedekah dari sumber yang haram.”

(Riwayat Imam Muslim)

Contoh sumber haram tersebut adalah seperti wang rasuah, riba, wang judi dan seumpamanya.

 
Soalan:  Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber yang syubhah?
Jawapan: Tidak wajib zakat kerana wang syubhah lebih hampir kepada sumber haram dan yang meragukan.
 
Soalan: Mengapakah keperluan asas seperti rumah, kereta, bil-bil dan tanggungan lain tidak diambil kira dalam taksiran zakat pendapatan?
Jawapan: Penentuan had kifayah yang dibernarkan telahpun mengambil kira keperluan asasi seperti makanan, pakaian, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan alat keperluan/sokongan pekerjaan.
 
Soalan: Saya memiliki rumah sewa di sekitar Shah Alam. Adakah saya wajib mengeluarkan zakat hasil daripada kutipan sewa, sedangkan pada masa yang sama saya juga perlu membayar hutang rumah kepada bank semasa pembelian  rumah tersebut?

Jawapan: Hanya lebihan daripada baki sewa akan dimasukkan dalam kiraan pendapatan lain. Contohnya:

      Contoh Pengiraan: Kutipan sewa rumah sebulan: RM 1,000
      Bayaran ansuran bank sebulan: RM 800
      Baki daripada sewaan: RM 200

Hanya nilai dari baki sewaan iaitu RM 200 selama setahun iaitu RM 2400 sahaja yang perlu dimasukkan di dalam pengiraan zakat harta mustaghallat dan setelah ditolak kos-kos lain seperti baik pulih rumah dan sebagainya.

 
Soalan: Jika saya dan isteri kedua-duanya menanggung anak-anak bagaimana cara penolakan untuk perbelanjaan mereka? Bolehkah dibahagikan kepada dua?

Jawapan: Jika Encik dan isteri bersama-sama menanggung anak, cara penolakan terbaik haddul kifayah ialah dengan cara dibahagikan secara sama rata taksiran kiraan haddul kifayah tersebut.

 
Soalan: Apakah perbezaan di antara zakat pendapatan dan zakat wang simpanan?

Jawapan: Zakat pendapatan dilihat puncanya dari gaji, hasil kerja bebas, hasil sewaan dan pemberian yang diperolehi pada tahun semasa sahaja.

Para Mufassirin seperti Imam As-Suyuti berpendapat, perkataan “ مَا كَسَبْتُمْ “adalah mubhamah dan memberi makna yang umum merangkumi apa juga jenis pekerjaan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang. Oleh itu, segala harta yang diperolehi daripada apa jua bentuk usaha dan pekerjaan adalah dikira harta yang wajib dikeluarkan zakat.

Adapun zakat wang simpanan dilihat puncanya dari wang yang telah sedia ada pada tahun sebelumnya. Zakat wang simpanan dikenakan pada baki hujung haul yang mencecah nisab semasa, sementara zakat pendapatan dikenakan kepada jumlah yang berbaki selepas dibuat penolakan untuk had kifayah dan sekiranya bakinya melebihi atau menyamai nisab.

 
Soalan:  Saya wajib membayar zakat pendapatan tetapi pada akhir tahun wang telah habis digunakan. Adakah saya masih wajib membayar zakat pendapatan?
Jawapan: Ya, wajib dibayar zakat tersebut secara ansuran sehingga selesai dan ia dianggap sebagai hutang yang perlu disegerakan.