Introduction | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)

Introduction

Pengertian Zakat

Pengertian Bahasa

Merupakan kata terbitan dari kalimah ( زَكَى ) bermaksud suci dan subur, termasuklah bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat.

 

Pengertian Syarak

Zakat adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.

 

Hukum Zakat

Zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib. Oleh itu, seseorang muslim yang mengingkari kefardhuan zakat boleh mengakibatkan murtad. Manakala individu muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah berdosa besar. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat.

 

Kedudukan Dalam Islam

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima.

 

Hikmah Disyariatkan Zakat

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:-

  • Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
  • Membersihkan diri pembayar zakat.
  • Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
  • Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.
  • Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan yang kurang bernasib baik.
  • Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  • Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
  • Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
  • Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai ALLAH SWT.
  • Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat

 

Asnaf Zakat UPM

Seksyen Pengurusan Zakat dan Pembangunan Asnaf, UPM melaksanakan pengagihan zakat berdasarkan perjanjian antara UPM dengan Lembaga Zakat Selangor, iaitu, UPM hanya dibenarkan untuk mengagihkan zakat kepada lima daripada lapan asnaf sahaja :

 

Fakir

Orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat, tinggal dan keperluan-keperluan lain.

 

Miskin

Orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.

 

Muallaf

Orang yang baru memeluk Islam iaitu “orang yang dijinakkan hatinya” dengan diberi bantuan supaya meraka teguh mencintai Islam.

 

Ibnu Sabil

Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat:-

  • Ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya.
  • Pengembaraan diharuskan oleh syarak.

 

Fisabilillah

Tiap-tiap perbuatan/perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untuk menegakkan syiar Islam.

Updated:: 08/10/2017 [nuruliman]

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
89468993 | 89466156
03-89472048
C1513067199