Wakaf: Pemahaman Untuk Semua

 

 

Segala puji bagi Allah SWT, pemilik sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, muslimin dan muslimat, serta para penjuang Islam yang sentiasa mendukung dan menegakkan agama Allah yang Maha Benar.

Tanah perkuburan, masjid, surau dan tanah-tanah terbiar sering dikaitkan dengan wakaf. Malah, wakaf sering difahami dalam konteks yang begitu sempit, tidak moden, tidak ekonomik, bersifat anti-sosial dan hanya terangkum dalam hal-hal keagamaan. Malah, saya sendiri sebelum ini juga menganggapnya begitu.

Sebagai individu yang mendapat pendidikan dalam bidang pengurusan dan pemasaran, wakaf difahami terangkum dalam lima perkara. Pertama, wakaf adalah produk agama. Kedua, wakaf merupakan produk yang tidak nampak atau “intangible”. Ketiga, wakaf tergolong dalam jenis produk tidak dicari atau “unsought product”. Keempat, wakaf adalah produk yang telah lapuk dan ketinggalan zaman. Kelima, wakaf merupakan produk yang disebut “mortmain” atau “dead” yang tidak mempunyai potensi sebagai sumber pembangunan sosio-ekonomi masyarakat. Dengan kata lain, wakaf hanya merupakan terma yang berupa sedekah atau sumbangan orang ramai yang bersifat jangka pendek. Sumbangan yang digunakan untuk membina masjid, surau dan tempat berteduh.

Wakaf yang berkait rapat dengan sistem sosioekonomi bertunjangkan al-Quran, al-Hadith dan Ijma’ ulama telah memainkan peranan yang cukup penting seiring dengan perkembangan tamadun Islam. Institusi pendidikan, hospital, rumah-rumah gelandangan, rumah-rumah kebajikan dan tumpangan, tempat-tempat mandian, pusat-pusat perniagaan dan kawasan Rehat dan Rawat berteraskan wakaf telah lama dibina sejak di awal pemerintahan kerajaan Islam lagi. Malah, selama lebih seribu empat ratus tahun sejak pewujudannya, institusi wakaf telah memainkan peranan yang cukup penting sebagai sumber pembiayaan terhadap kewujudan serta pembangunannya.

Ironinya, peranan serta kehebatan wakaf sebagai sumber pembiayaan penting pembangunan sosio-ekonomi telah mempengaruhi masyarakat Barat. Terma-terma seperti endowment, trust fund, foundation, estate planning dan pelbagai konsep berasaskan philanthropy telah diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka. Semua terma dalam pelbagai istilah tersebut telahpun diamalkan dalam negara Islam menerusi wakaf lebih daripada 1,400 tahun yang lalu.

Berlatarbelakangkan senario tersebut, saya telah menulis satu buku kecil yang memberi tumpuan kepada konsep dan asas pensyariatan wakaf yang bersumberkan al-Quran, al-Hadith dan Ijma’ ulama. Sementara rukun dan kaedah pengurusan harta wakaf juga dibincangkan bagi menjelaskan bagaimana harta wakaf diurus mengikut peraturan yang ditetapkan oleh syarak. Penulisan buku ini dibuat dalam gaya bahasa yang mudah dan disediakan dalam bentuk deskriptif bagi mengenal pasti susur galur pewujudan wakaf. Oleh itu, buku kecil ini sangat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan ringan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam yang berminat untuk memahami dan mengenali konsep sebenar wakaf menurut Islam. Harapan penulis, dengan adanya buku kecil ini akan dapat memberi kefahaman sebenar kepada masyarakat tentang kepentingan wakaf. Lebih penting lagi setiap umat Islam bertangunggjawab untuk mengembalikan serta meletakkan semula wakaf di arus pengurusan perdana sebagai sumber pembiayaan ummah.

Wassalam.

Hj. Razali Othman (PhD)