Pengenalan

PENDAHULUAN

Amalan menyumbangkan juadah atau menyediakan jamuan merupakan sebahagian daripada sunnah Rasulullah SAW dan ianya sangat disarankan dalam banyak hadith yang diriwayatkan daripada Baginda SAW, antaranya dari Abdullah ibn Salam ra bahawa Rasulullah SAW ketika baru tiba di Madinah dari Mekah, pernah bersabda: “Wahai umat manusia! Sebarkanlah salam, berikanlah makanan, hubungkan silaturrahim dan perbanyakkan solat malam ketika manusia sedang tidur. Nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat. (HR Imam Ahmad dan Tirmidzi).

Amalan tersebut juga bukanlah suatu yang baharu dalam budaya masyarakat Islam di Malaysia. Aktiviti seperti menyediakan juadah sepanjang bulan Ramadan untuk berbuka serta moreh, menghadiahkan juadah kepada jiran tetangga, menghidangkan tetamu yang berkunjung, menjamu jemaah masjid menjelang waktu solat jumaat, menitipkan juadah ketika menziarahi orang sakit, mengadakan keraian di rumah sempena majlis kesyukuran atau sebagainya, belanja makan rakan-rakan sepejabat dan bermacam-macam lagi sifat kesantunan sedemikian telah lama mengakar sebagai sebahagian daripada kemuliaan budi masyarakat kita.

Semua amalan tersebut adalah termasuk dalam kategori infaq atau sumbangan ikhlas kerana Allah SWT tanpa mengharap sebarang balasan manusia dan tanpa mengenakan sebarang syarat, dalam erti kata ingin berkongsi rezeki serta kegembiraan kita bersama orang lain.

 

JUADAH PERCUMA DI UPM

Dalam konteks di Universiti Putra Malaysia (UPM), amalan menyumbangkan juadah atau menyediakan jamuan secara percuma telah dilaksanakan di UPM sejak dulu lagi, seperti #sedekahjumaat , #suspendedmeals dan sebagainya, jauh sebelum timbul isu-isu yang sedang heboh dibincangkan di pelbagai media pada masa ini (seperti mahasiswa tidak cukup makan, mahasiswa kebulur atau seumpamanya).

Begitu juga dengan penganjuran serta pelaksanaan Freemeals oleh para sukarelawan Freeshop UPM sebagai perkhidmatan sokongan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM bagi menyediakan juadah percuma kepada para pelajar yang memerlukan dan juga para asnaf serta musafir yang sedang dalam kesempitan.

 

SUMBER DANA FREEMEAL

Sumber pembiayaan aktiviti Freemeals adalah bergantung sepenuhnya kepada sumbangan derma mereka yang pemurah dan ikhlas. Ini bermaksud amalan tersebut adalah semata-mata berasaskan kepada niat penganjur dan para penyumbang yang jelas tidak mengenakan sebarang syarat atau kriteria yang ketat dan terperinci ke atas para penerima Freemeals tersebut. Hal ini berbeza dengan agihan serta penggunaan wang dari sumber kutipan zakat, harta wakaf, denda fidyah atau kaffarah dan sebagainya di mana ianya terikat dengan prinsip serta polisi yang ditetapkan oleh syarak.

 

OBJEKTIF DAN SASARAN

Dalam penganjuran serta pelaksanaan Freemeals , kita hanya ada satu sahaja objektif iaitu untuk menyuburkan budaya memberi dan berbakti menerusi konsep bersedekah dan kesukarelawan, selaras dengan saranan serta gesaan Baginda Rasulullah SAW.