WAZAN UPM Terima Anugerah Khas Muaz Bin Jabal | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» BERITA » WAZAN UPM terima Anugerah Khas Muaz bin Jabal

WAZAN UPM terima Anugerah Khas Muaz bin Jabal

Oleh WAZAN Online

SHAH ALAM, 6 April - Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga penolong amil institusi pengajian tinggi Lembaga Zakat Selangor terpilih menerima Anugerah Khas Muaz bin Jabal pada Majlis Penghargaan Lembaga Zakat Selangor 2017.

 

Anugerah Khas Muaz bin Jabal merupakan pengiktirafan kepada institusi zakat yang berjaya meningkatkan jumlah kutipan zakat dan pembayar zakat baharu, serta pengurusan terbaik dan inovasi dalam pengurusan zakat sepanjang 2017.

 

Anugerah disampaikan Ahli Lembaga Amanah Lembaga Zakat Selangor yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Bakhtiar Hussin kepada pengarah WAZAN UPM, Dr Hj Razali Othman, pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini.

 

Majlis itu bagi mengiktiraf dan meraikan ejen kutipan dan penolong amil Lembaga Zakat Selangor yang memberikan komitmen dan sumbangan dalam menyebarkan dakwah zakat serta membantu meningkatkan kutipan zakat.

 

Sehubungan itu, Dr Hj Razali berkata, pihaknya merakamkan terima kasih kepada semua mereka yang menyumbang kepada WAZAN UPM untuk diagihkan kepada golongan yang berkelayakan.

“Menerusi pengiktirafan ini, WAZAN UPM diharap dapat mengorak langkah ke hadapan untuk menyumbang kepada pemantapan pengurusan harta zakat,” katanya.

Turut diraikan pada majlis itu ialah wakil firma audit dan percukaian, ejen syarikat, klinik, bank, pejabat pos, penolong amil institusi pengajian tinggi dan syarikat korporat yang merupakan pembayar zakat perniagaan, serta majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di zakat Selangor.

 

 

Tarikh Input: 05/05/2018 | Kemaskini: 27/09/2018 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEYDAW~