| PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)

Kesan Ekonomi Atas Pengurusan Zakat

Ringkasan Artikel

Kenapa hari ini kebanyakan pusat zakat ‘lebih berkira’ dalam meluluskan bantuan zakat? Misalnya, dahulu bantuan pendidikan, perubatan, baik pulih surau dan kemudahan masjid lebih mudah diluluskan.

Kenapa hari ini kebanyakan pusat zakat ‘lebih berkira’ dalam meluluskan bantuan zakat? Misalnya, dahulu bantuan pendidikan, perubatan, baik pulih surau dan kemudahan masjid lebih mudah diluluskan.

Demi menjelaskan isu ini maka ada baiknya kita melihat kepada formula berikut, iaitu kemapanan ekonomi akan memberi kesan langsung kepada zakat. Sifir mudahnya, apabila ekonomi negara meningkat, maka zakat juga akan meningkat. Demikian juga sebaliknya. Ia berkadar langsung seperti graf garis lurus.

Sebab itu zakat boleh dianggap sebagai pengukur kesejahteraan sesebuah negara. Zakat yang meningkat melambangkan kesejahteraan negara. Ini kerana kestabilan ekonomi yang merangsang kenaikan zakat tidak akan diperoleh tanpa wujudnya kestabilan sosial dan politik.

Prestasi zakat dan kestabilan sosial, ekonomi dan politik saling berhubungan secara timbal balik (simbiosis). Inilah keunikan zakat dan ekonomi. Berkaitan dengan soalan di atas, mengenai kesulitan dalam agihan zakat, ia berkait rapat dengan situasi ekonomi semasa.

Apa yang menjadi isu, sejauh manakah peningkatan agihan zakat itu mampu dinikmati oleh sebanyak mungkin orang. Hal ini tidak dapat lari daripada tahap kesejahteraan ekonomi. Misalnya, kekuatan nilai ringgit dan harga barang mempengaruhi jumlah penerima agihan zakat. Tanpa kestabilan ekonomi, bermakna penerima zakat semakin ramai tetapi agihan semakin mengecil.

Dalam aspek lain, angka kenaikan zakat saban tahun itu juga tidak begitu tepat bagi melambangkan status keseluruhan kesejahteraan rakyat di Selangor. Ini memandangkan jumlah pembayar zakat di Selangor juga masih rendah. Sehingga tahun 2015, hanya terdapat 256,001 orang sahaja menunaikan zakat harta mereka, berbanding potensi sebenar lebih daripada 3 juta umat Islam (tidak sampai 10 peratus yang menunaikan zakat harta).

 

Kenapa Sukar Meluluskan Permohonan

Biar pun kelihatan wang zakat adalah besar, namun hakikatnya keperluannya adalah jauh lebih besar. Ia menjadi besar kerana dua faktor, meningkatnya jumlah penerima (asnaf) dan kos sara hidup asnaf.

Contoh mudah, di rumah kita ada sebuah tangki air yang mampu menakung air sehari sebanyak 1,000 meter padu (m3); namun pada masa yang sama keperluan air keluarga kita ialah 1,500 m3 sehari. Maka, biar pun air yang diisi itu penuh (mencapai sasaran); ia tetap tidak mampu menampung keperluan. Itulah yang berlaku dalam dunia pengurusan zakat hari ini, khususnya di Selangor.

Keadaan ekonomi yang sedang melanda dunia hari ini, khususnya di Malaysia, seperti kejatuhan harga minyak mentah, kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan harga barangan, sekali gus memberi kesan langsung kepada kos sara hidup. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan berlakunya inflasi, iaitu lebih banyak wang diperlukan untuk mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan.

Di sisi pengurusan zakat, perubahan dalam bentuk kos sara hidup menyebabkan perubahan besar bagi semua perbelanjaan asnaf zakat yang lapan. Bukan sekadar kos bantuan bulanan fakir miskin, malah kos pengajian di universiti awam, swasta dan luar negara pada hari ini sudah tidak sama lagi. Kejatuhan nilai ringgit menyaksikan pengurusan zakat harus menyediakan kos lebih besar bagi pelajar bawah asnaf fisabilillah.

Maka pihak pengurusan zakat mesti bijak melakukan pengubahsuaian dalam bajet. Fiqh al-awlawiyat (fiqah keutamaan) perlu dilaksanakan, mengikut konsep antara keperluan (daruriyyah), kemahuan (hajiyyah) dan kemewahan (tahsiniyyah). Konsep ini juga disepadankan dengan Maqasid Syariah, iaitu mengutamakan bantuan melibatkan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam pengagihan zakat.

Jika ada dua permohonan yang datang kepada pihak zakat, pertama melibatkan seorang pesakit yang diambang kematian dan dia pula mempunyai ramai tanggungan, dan kedua permohonan memasang permaidani baharu di masjid, maka pastilah permohonan pertama wajib diraikan. Ia bersifat daruriyyah, melibatkan aspek nyawa (Maqasid Syariah); sedangkan permohonan kedua hanya tahsiniyyah.

Hal ini perlulah dikembangkan kepada semua aspek lain. Di sisi Islam, pihak pengurusan zakat memang dikehendaki bijaksana mengendalikan agihan zakat dalam situasi berisiko seperti ini.

 

Artikel Penuh: 

http://www.utusan.com.my/mega/agama/kesan-ekonomi-atas-pengurusan-zakat-1.423079#ixzz5SMruu7X2 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SXDdEAg~