Institusi Wakaf: Sejarah dan Amalan Masa Kini

Segala puji bagi Allah SWT, pemilik sekalian alam. Selawat dan salam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, muslimin dan muslimat, serta para penjuang Islam yang sentiasa mendukung dan menegakkan agama Allah yang maha besar.

Institusi wakaf yang berkait rapat dengan sistem sosio-ekonomi yang bertunjangkan tasawwur Islam telah memainkan peranan yang cukup penting seiring dengan perkembangan tamadun Islam. Kehebatan, pengaruh dan kekuatan institusi wakaf sebagai sebuah mekanisme pembiayaan sosio-ekonomi umat Islam telah menyebabkan penjajah barat berusaha untuk memutuskan hubungan yang wujud di antara institusi wakaf dengan sistem ekonomi Islam melalui pelbagai dasar yang dibuat secara sengaja dan terancang. Kesannya, institusi wakaf difahami dan dilihat dalam konteks yang begitu sempit, tidak moden, tidak ekonomik, bersifat anti-sosial dan hanya terangkum dalam hal-hal keagamaan yang bersifat khusus seperti menunaikan ibadat solat dan puasa sahaja.

Namun begitu, sehingga hari ini, belum ada mana-mana penulis di Malaysia yang membincangkan institusi wakaf secara terperinci daripada aspek susur galur sejarahnya dan perkembangannya sebelum kehadiran Islam. Teori pengaruh luar, teori pengaruh Arab Jahiliah, dan teori gabungan muncul dan menjadi perdebatan dalam kalangan sarjana barat dan Islam yang sehingga kini masih tiada kesepakatan bersifat sejagat antara mereka. Persoalannya, adakah amalan dan sistem perundangan wakaf ditiru daripada masyarakat sebelum Islam seperti yang didakwa oleh sarjana barat? Dalam pada itu, maklumat yang berkaitan dengan wakaf diperlukan oleh para pentadbir dan mereka yang terlibat untuk menguruskan serta membangunkan institusi wakaf. Hal ini membolehkan mereka benar- benar faham tentang asas, konsep, pensyariatan, dan pelaksanaan institusi wakaf terdahulu dan masa kini.

Antara punca kegagalan menguruskan harta wakaf yang berkesan di negara-negara Islam termasuklah disebabkan sebahagian daripada mereka yang bertanggungjawab terhadap harta wakaf tidak memahami gelagat wakaf dalam konteks pembangunan masa lampau dan masa kini. Selain itu, sebahagian besar buku-buku berkaitan wakaf pula ditulis dalam bahasa Arab, Inggeris, Turki dan Perancis, yang pastinya menjadi halangan kepada para pelajar, pentadbir dan masyarakat umum di Malaysia yang berminat untuk lebih mengetahui sejarah dan perkembangan institusi wakaf ini. Berdasarkan tiga isu di atas, buku ini ditulis dalam bahasa Melayu yang menggunakan rujukan-rujukan dalam bahasa Arab, Inggeris, Turki dan Perancis bagi membolehkan kandungan dibaca dan difahami dengan lebih berkesan oleh kelompok masyarakat di Malaysia yang lebih luas.

Penulisan buku ini dibuat dalam gaya bahasa yang mudah dan mudah difahami oleh pelbagai golongan masyarakat, dan telah disediakan dalam bentuk deskriptif bagi mengenal pasti pensyariatan, asal usul, peranan, dan pelaksanaan institusi wakaf. Buku ini juga ditulis berorientasikan kaedah penyelidikan data-data sekunder dan bahan-bahan yang berkaitan wakaf dengan konsep wakaf tersebut. Lantaran itu, buku ini sangat sesuai untuk dijadikan  rujukan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam yang berminat untuk memahami dan mengenali konsep sebenar wakaf menurut Islam.

Bahan bacaan ini juga sangat berguna dan bermanfaat kepada para pentadbir yang terlibat secara langsung dalam menguruskan dan membangunkan harta wakaf di Malaysia, khususnya pegawai di Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Haji, Zakat dan Wakaf (JAWHAR), institusi yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi Islam seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM), Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), dan seterusnya para pelajar di Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menjalankan kajian tentang pembangunan institusi berteraskan Islam.

Bab pertama di dalam buku ini menjelaskan secara terperinci konsep dan asas pensyariatan wakaf yang bersumberkan al-Quran dan hadith. Asas wakaf ini, kemudiannya diperkukuhkan lagi oleh para sarjana Islam melalui pendekatan (ijmak). Hal ini secara langsung menjawab tuduhan para sarjana barat yang mendakwa bahawa wakaf wujud hasil daripada inspirasi dan teori-teori asing Byzantin, Rom, Yahudi, Jerman, Parsi atau Inggeris seperti yang dibincangkan dalam bab kedua.

Bab ketiga pula, membincangkan kehebatan peranan dan sumbangan institusi wakaf sebagai sumber pembiayaan sosio-ekonomi umat Islam dalam pelbagai bidang seperti pendidikan (sekolah, kolej,dan universiti), rumah ibadat dan kebajikan (masjid, hospital, rumah penjagaan orang-orang tua dan imaret) dan pelbagai kemudahan perbandaran dan perniagaan (jalan raya, peparitan, pengairan, bazar, hamam, dan caravanserais).

Seterusnya, bab keempat mendedahkan dasar penjajahan Barat melalui pelbagai pendekatan seperti perubahan sistem perundangan, penyitaan, pembatalan, perampasan, dan pemiliknegaraan harta-harta wakaf. Dasar dan tindakan penjajahan secara sengaja dan terancang ini dibuat dengan tujuan untuk menghapuskan pengaruh, peranan, ketamadunan, kemerdekaan, moral, dan imuniti material yang ada pada institusi wakaf.

Bab kelima membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh negara-negara Islam untuk membangunkan semula institusi wakaf kesan daripada peninggalan dasar dan tindakan penjajah Barat. Keinginan dan kesungguhan untuk memartabatkan semula institusi wakaf dalam kalangan negara-negara Islam ini telah mewujudkan pengenalan wakaf tunai. Wakaf tunai yang dianggap sangat luwes, mempunyai nilai kecairan yan tinggi, mudah diurus dan menjangkau pelbagai golongan masyarakat telah diterima sebagai kaedah berwakaf yang sangat popular hari ini.

Bab terakhir, iaitu bab keenam pula membincangkan kepentingan aspek pemasaran dalam membangunkan dan memperkasakan semula institusi wakaf hari ini. Isu pemasaran yang cukup penting yang belum pernah dibincangkan secara terperinci oleh mana-mana penulis dalam konteks institusi wakaf sebelum ini dikupas dalam pendekatan pemasaran perkhidmatan. Pemasaran perkhidmatan pula menjurus kepada pemasaran perkhidmatan yang berteraskan Islam selaras dengan prinsip pewujudan wakaf yang bersandarkan al-Quran, hadith, qias dan (ijmak) ulama.

Model Segi Tiga Pemasaran Islam (SPPI) yang dibentuk berdasarkan penilaian semula falsafah pemasaran lazim dengan bersumberkan tasawwur Islam, dua komponen utama model Segi Tiga Pemasaran Perkhidmatan (SPP) dan alat campuran pemasaran dilihat dapat digunakan sebagai strategi oleh pengurus-pengurus wakaf untuk mewujudkan hubungan jangka panjang dengan pewakaf dan bakal pewakaf. Malah, isu penyertaan dan penglibatan masyarakat dalam aktiviti berwakaf yang selama ini menjadi halangan dalam pembangunan semula institusi wakaf akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan model SPPI ini.

Wassallam.

Hj. Razali Othman (PhD)