Perutusan Pengarah

"Keluarga WAZAN"
 
PERUTUSAN PENGARAH WAZAN

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt dan selamat datang ke laman web rasmi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM.

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana atas keizinan dan rahmatNya, laman sesawang rasmi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) ini berjaya dibangunkan. Laman sesawang WAZAN ini memuatkan maklumat organisasi, perkhidmatan dan laporan aktiviti-aktiviti WAZAN.
 
Saya yakin Keluarga WAZAN amat bertanggungjawab dengan penuh iltizam dan dedikasi yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pemegang taruh, rakan-rakan strategik dan pelanggan yang diraikan. Justeru, strategi keluarga WAZAN berazam dan berusaha meningkatkan dan mempelbagaikan segmen pelanggan dengan berkesan. Dalam masa yang sama laman sesawang ini akan membumikan ilmu literasi Zakat, Wakaf dan Endowmen.
 
Saya yakin, WAZAN mampu menjadi platform yang ideal bagi perkongsian kekayaan dan manfaat dalam kalangan ummah melalui kerjasama, kesukarelawan, misi bantuan serta pelbagai program penjanaan. Justeru itu, WAZAN mengalu-alukan semua pihak Bersama-sama WAZAN bagi menjayakan spirit dan roh yang mulia ini. Semoga kita menjadi yang terbaik dalam kalangan insan yang terbaik. Berkata itu mudah tetapi realitinya penuh cabaran, maka kitalah yang akan merealisasikannya. Yang pastinya, jika kita Bersama-sama, pasti boleh berjaya.
 
Akhir kata, marilah bersama-sama WAZAN bagi menjayakan misi bantuan dan perkongsian kekayaan Ummah. Tanpa anda semua, siapalah kami. Semoga WAZAN menjadi lambang kesungguhan dan pemacu utama mencapai kecemerlangan pengurusan wakaf, zakat dan endowmen di Universiti Putra Malaysia (UPM).
 
Semoga WAZAN akan terus melakar lebih banyak potret kejayaan sebagai sebuah organisasi peneraju dalam usaha mempertingkatkan kesedaran masyarakat untuk menyumbang dan berbakti. Mudah-mudahan Allah SWT mengganjari kita semua dengan sebaik-baik kurniaanNYA di dunia dan di akhirat.
 
Sekian,
 
 
“WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA 2030”
“BERILMU BERBAKTI”
 
 
PROF. MADYA DR. MOHD DAUD AWANG
Pengarah
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia