Sejarah Penubuhan

PENDAHULUAN

 

Selain daripada sektor kerajaan dan sektor swasta, peranan sektor ketiga juga perlu diharmonikan bagi menggembeling setiap sumber dalam penglibatan yang bersinergi ke arah kelestarian institusi pendidikan yang mapan.

Pemerkasaan keseluruhan aktiviti pendanaan yang berasaskan kedermawanan merangkumi pengurusan wakaf dan zakat, derma dan hadiah, endowmen dan kursi di UPM adalah amat diperlukan bagi meletakkan transformasi tadbir urus filantropi UPM pada landasan yang tepat.

 

LATAR BELAKANG

 

Tradisi berbakti di bumi UPM telah tumbuh mekar sejak sekian lama, merangkumi seluruh bidang utama dan aktiviti teras universiti seperti pendidikan dan penyelidikan serta khidmat sosial dan kesukarelawan; sama ada dengan mendermakan harta serta wang ringgit; menyumbangkan idea, masa serta tenaga; berkongsi ilmu pengetahuan serta kepakaran; dan sebagainya.

Budaya “Berilmu Berbakti” di UPM terus disuburkan dengan beberapa instrumen ibadah menerusi sektor pendanaan ijtma'ie berasaskan sumbangan seperti derma, hadiah, zakat, wakaf dan sebagainya yang bukan sahaja berperanan sebagai mekanisme kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan, bahkan yang lebih penting lagi adalah tuntutan keimanan selaku khalifah dalam mentadbir dan memakmurkan amanah Allah SWT.

 

PENGURUSAN ZAKAT DI UPM

 

Tabung Amanah Zakat UPM telah ditubuhkan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tahun 2002 yang diletakkan di bawah tanggungjawab Ketua Unit Kebajikan Pelajar (UKP), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).

Berdasarkan Perjanjian Pelantikan Penolong Amil antara UPM dengan LZS, UPM hendaklah menyerahkan semua kutipan zakat kepada pihak LZS dan seterusnya LZS akan mengembalikan semula kepada UPM sebanyak 50% daripada hasil kutipan zakat tersebut sebagai peruntukan dana agihan untuk disalurkan kepada hanya lima (5) kategori asnaf sahaja dalam kalangan warga UPM yang layak dan berhak.

Namun demikian, atas beberapa faktor tertentu, aktiviti kutipan dan agihan zakat UPM hanya dapat dimulakan pada tahun 2004, dengan catatan angka kutipan zakat sebanyak RM934,474.04 dan agihan dana asnaf berjumlah RM100,838.50 pada tahun tersebut.

Seterusnya pada tahun 2009, BHEP telah menaiktaraf UKP menjadi Seksyen Kebajikan Pelajar (SKP) dan menubuhkan satu unit baharu di bawahnya  iaitu Unit Pengurusan Zakat dan Kerohanian (UPZK) bagi menambahbaik pengurusan zakat dan memperkasa aktiviti kerohanian pelajar.

Pada tahun 2013, dengan kekuatan seorang pegawai (N41); seorang penolong pegawai (N27); serta lima (5) orang staf pelaksana (N17), UPZK berjaya mencatat angka kutipan zakat sebanyak RM4,894,639.53 dan agihan dana asnaf berjumlah RM2,370,659.97.

 

PENGURUSAN WAKAF DI UPM

 

Idea dan hasrat penubuhan dana wakaf telah diusahakan di UPM sejak tahun 2002 lagi. Meski pun cadangan penubuhan dana wakaf tersebut telah mendapat kelulusan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), hasrat tersebut tidak dapat dimajukan ke peringkat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di atas beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan.

Pada Oktober 2010, hasrat penubuhan dana wakaf tersebut telah dihidupkan semula oleh Jawatankuasa Penaja yang diurusetiakan oleh "Sekretariat Dana Wakaf Untuk Ilmu UPM” di bawah tanggungjawab Ketua Unit Pengurusan Zakat dan Kerohanian (UPZK) BHEP dan seterusnya membentangkan cadangan tersebut ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Bil. 3/2011 pada 11 Ogos 2011.

Pihak MAIS melalui suratnya yang bertarikh 16 Ogos 2011 (No. Rujukan (4) dlm. MAIS/E/MAL/01/002/04) telah memaklumkan kelulusan permohonan mewujudkan Dana Wakaf Ilmu UPM selaras dengan Seksyen 89 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 20013 "Bahawa Majlis adalah Pemegang Amanah Tunggal bagi wakaf di seluruh Negeri Selangor".

Seterusnya, DYMM Sultan Selangor selaku Tuanku Canselor UPM telah berkenan merasmikan pelancarannya pada 19 Ogos 2011 bersamaan 19 Ramadan 1432H bersempena dengan Majlis Berbuka  Puasa dan Solat Tarawih bersama Baginda.

Bagi menjalin ikatan kerjasama yang lebih kukuh, satu Perjanjian Berkaitan Dana Wakaf Ilmu UPM di antara MAIS dengan UPM  telah dimeterai pada 2 Februari 2012.

Pada Ogos 2013, "Sekretariat Dana Wakaf Ilmu" telah dinaiktaraf sebagai Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu (SPDWI) dan dipindahkan ke bawah portfolio Bahagian Pengurusan Penjanaan Pendapatan dan Hasil (BPPPH), Pejabat Bursar dengan kapasiti seorang pegawai (N41) dan dua (2) orang staf pelaksana (W27). 

Jumlah keseluruhan kutipan Dana Wakaf Ilmu (kumulatif) pada 31 Disember 2013 ialah RM3,959,667.83, manakala jumlah hasil manfaat yang berjaya dijana adalah sebanyak RM169,624.31.

 

PENGURUSAN ENDOWMEN DAN KURSI DI UPM

 

Dana endowmen UPM yang paling awal dicatatkan adalah berjumlah RM1 juta hasil sumbangan Malayan Banking pada tahun 1981. Sehingga tahun 2013, UPM telah memiliki lapan (8) tabung endowmen yang keseluruhannya bernilai RM44.85 juta dengan jumlah pulangan sekitar RM2.66 juta setahun, di samping tiga (3) kursi yang bernilai RM1.18 juta dengan jumlah pulangan sekitar RM39 ribu setahun.

Secara prinsipnya, pengurusan serta pelaksanaan aktiviti semua dana endowmen dan kursi tersebut adalah di bawah seliaan Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing, di mana skop dan peranan pejabat Bursar adalah terhad kepada operasi kewangan; aktiviti pelaburan; dan pemantauan akaun-akaun amanah yang berkaitan sahaja. 

 

PENUBUHAN PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN) UPM

 

Cadangan menaiktaraf Unit Pengurusan Zakat dan Kerohanian (UPZK) serta Sekretariat Dana Wakaf Ilmu (SDWI) sebagai satu PTJ baharu telah dimajukan buat pertama kalinya ke dalam Mesyuarat JPU Ke-467  pada 17 Julai 2013 bersamaan 9 Ramadan 1434H. Mesyuarat JPU pada waktu itu telah memutuskan supaya UPZK dinaiktaraf sebagai Seksyen dan dikekalkan di bawah BHEP, manakala SDWI pula dinaiktaraf sebagai Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu SPDWI) dan dipindahkan ke bawah pengurusan Pejabat Bursar.

Seterusnya, cadangan pemerkasaan semua entiti pengurusan filantropi di UPM sebagai satu PTJ baharu di bawah Pejabat Naib Canselor (dengan penggabungan semula SPZK dan SPDWI serta penggembelingan potensi endowmen) telah dibentangkan ke dalam Mesyuarat JPU  Ke-544 pada 24 Jun 2015 bersamaan 7 Ramadan 1436H dan memutuskan ketetapan untuk menubuhkan satu Bahagian baharu iaitu "Bahagian Zakat, Wakaf dan Endowmen" (BZWE) yang ditempatkan di bawah tanggungjawab Pejabat Bursar.

Pada 29 Jun 2016 bersamaan 23 Ramadan 1437H, cadangan penubuhan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen UPM telah dibentangkan ke dalam Mesyuarat JPU Ke-581 dan  secara prinsipnya telah bersetuju terhadap cadangan tersebut termasuk penempatannya di bawah Pejabat Naib Canselor dengan pelantikan seorang Pengarah.

Pada 24 Ogos 2016, Mesyuarat JPU Ke-586 telah bersetuju meluluskan struktur organisasi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (PPWZE) dengan mengandungi dua (2) Bahagian sahaja iaitu Bahagian Wakaf dan Zakat; dan Bahagian Endowmen dengan tarikh kuatkuasa pada 1 Oktober 2016.

Pada 11 November 2016, Mesyuarat Pengurusan PPWZE  kali pertama telah bersetuju menggunakan singkatan WAZAN bagi menggantikan singkatan PPWZE, yang merupakan singkatan daripada perkataan WAkaf, ZAkat dan EndowmeN.

Dalam bahasa arab, WAZAN membawa maksud neraca atau alat penimbang yang juga disebut sebagai "Mizan". Pengertian WAZAN juga membawa kepada lima prinsip utama iaitu IhsanHikmahAdilKeseimbangan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

 

PENUTUP

 

Ringkasnya, penubuhan WAZAN UPM adalah sangat signifikan dalam membangunkan potensi dan momentum yang berterusan secara efektif dan efisyen sebagaimana yang dihasratkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi. Ini selaras dengan sasaran yang telah digariskan dalam Buku Ungu Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi bagi menjana pendapatan universiti yang lestari.